Undang-undang tahanan rumah perlu peraturan jelas, pengawasan kehakiman

Cadangan Akta Tahanan Rumah perlu dilihat sebagai sebahagian daripada reformasi sistem keadilan jenayah, bukan sekadar jalan untuk mengurangkan kesesakan penjara.
Kerajaan sebelum ini berkata cadangan berkenaan bertujuan menangani masalah kesesakan penjara, khususnya membabitkan tahanan reman manakala mereka yang terbabit dalam jenayah serius tidak akan dipertimbangkan.
Malaysia ketika ini mempunyai kira-kira 93,000 banduan berbanding kapasiti penjara sekitar 75,000 orang. Justeru, asas kepada cadangan itu boleh difahami, namun undang-undang berkenaan perlu digubal dengan cukup jelas bagi memastikan tahanan rumah tidak menjadi satu lagi bentuk hukuman yang dilaksanakan secara tidak konsisten atau terpilih.
Perkara pertama yang perlu ditetapkan ialah definisi jelas dalam undang-undang mengenai siapa yang layak.
Akta itu perlu menyatakan secara khusus golongan yang boleh dipertimbangkan, bukannya memberikan budi bicara terlalu luas kepada pihak eksekutif atau pihak berkuasa penjara.
Kelayakan boleh ditentukan berdasarkan beberapa faktor, termasuk jenis dan tahap keseriusan kesalahan, tempoh hukuman, rekod sabitan terdahulu, penilaian risiko mengulangi kesalahan, kelakuan ketika dalam tahanan, risiko melarikan diri, kesesuaian tempat tinggal serta kesediaan pesalah mematuhi pemantauan elektronik dan syarat lain.
Lebih penting, kelayakan itu perlu berasaskan kriteria undang-undang yang telus dan seboleh-bolehnya, diputuskan oleh mahkamah dan bukan semata-mata menerusi budi bicara pentadbiran.
Definisi tepat mengenai ‘jenayah serius’ juga perlu dinyatakan dalam undang-undang.
Sekadar menyebut pesalah jenayah serius dikecualikan akan membuka ruang kepada tafsiran yang terlalu luas.
Akta itu wajar mempunyai satu senarai khusus kategori kesalahan yang secara automatik tidak layak dipertimbangkan, tertakluk kepada semakan Parlimen.
Ia sepatutnya merangkumi kesalahan membunuh, cubaan membunuh, rogol dan kesalahan seksual serius lain, jenayah berat terhadap kanak-kanak, penculikan, keganasan, jenayah terancang serius serta kesalahan yang membabitkan keganasan berat.
Mereka yang disabitkan dengan kesalahan keganasan serius tidak sepatutnya layak menjalani tahanan rumah, khususnya jika masih wujud risiko terhadap mangsa atau masyarakat.
Pada masa sama, undang-undang perlu membezakan antara tahap keseriusan sesuatu kesalahan dengan risiko yang ditimbulkan oleh seseorang pesalah.
Dua individu yang disabitkan dengan kesalahan membawa hukuman maksimum yang sama tidak semestinya mempunyai tahap risiko yang serupa.
Oleh itu, sistem yang dirangka dengan baik memerlukan penilaian risiko secara bebas merangkumi kemungkinan melakukan keganasan, mengulangi kesalahan, melarikan diri, mengugut mangsa, hubungan dengan jenayah terancang serta rekod pematuhan terhadap syarat terdahulu.
Tahanan rumah tidak seharusnya diberikan secara automatik hanya kerana seseorang pesalah tergolong dalam kategori kesalahan yang layak dipertimbangkan.
Pengalaman negara lain boleh dijadikan panduan dalam mewujudkan perlindungan yang sewajarnya.
Di New Zealand, tahanan di rumah adalah hukuman yang diperintahkan mahkamah dan lazimnya digunakan terhadap pesalah yang sebaliknya mungkin dikenakan hukuman penjara singkat. Penilaian turut dilakukan terhadap pesalah dan kediaman yang dicadangkan.
Pemantauan elektronik diwajibkan, manakala pesalah perlu mendapatkan kebenaran untuk meninggalkan kediaman kecuali dalam keadaan tertentu. Pelanggaran syarat akhirnya boleh menyebabkan mereka dipenjarakan.
New Zealand turut mempunyai mekanisme pengawasan khas terhadap individu yang dinilai masih berisiko melakukan kesalahan seksual atau keganasan serius. Ini menunjukkan pemantauan elektronik tidak sepatutnya dianggap sebagai pengganti kepada pengurusan risiko yang menyeluruh.
Australia juga menawarkan beberapa pengajaran berguna. Di New South Wales, skim *Reintegration Home Detention* berfungsi sebagai proses peralihan yang dipantau ketat antara hukuman penjara dan parol.
Lebih penting, undang-undangnya mengecualikan banduan yang menjalani hukuman penjara seumur hidup, pesalah seksual atau keganasan berisiko tinggi serta individu yang disabitkan dengan kesalahan keganasan atau keganasan rumah tangga.
Tasmania pula mensyaratkan kediaman yang diluluskan, pemantauan elektronik dan pematuhan terhadap syarat ketat. Polis atau pegawai probesen turut diberi kuasa memasuki dan memeriksa kediaman berkenaan.
Pengalaman Kanada juga menunjukkan pentingnya pengecualian tertentu dinyatakan dengan jelas dalam undang-undang.
Hukuman bersyarat yang sering disifatkan sebagai “tahanan rumah” tertakluk kepada sekatan undang-undang, termasuk bagi kesalahan serius yang menyebabkan kecederaan terhadap individu, keganasan dan beberapa kategori jenayah terancang serius.
Prinsip asasnya jelas — tahanan rumah tidak sepatutnya diberikan semata-mata kerana penjara sesak. Keselamatan awam dan kesepadanan hukuman dengan kesalahan mesti kekal sebagai pertimbangan utama.
Bagi Malaysia, pemantauan elektronik sepatutnya diwajibkan dan bukan sekadar satu pilihan bagi setiap individu yang diperintahkan menjalani tahanan rumah.
Antara syarat yang boleh dikenakan mahkamah termasuk pemantauan GPS, pemeriksaan fizikal secara rawak, sekatan pergerakan, larangan menghubungi mangsa atau rakan sejenayah, sekatan penggunaan internet atau alat komunikasi jika berkaitan dengan kesalahan, ujian dadah atau alkohol apabila wajar serta penyertaan wajib dalam program pemulihan.
Sistem di New Zealand menunjukkan bagaimana pemantauan elektronik boleh menyediakan maklumat masa nyata mengenai pematuhan pesalah serta bukti sekiranya berlaku pelanggaran syarat.
Perlindungan kukuh juga diperlukan bagi mengelakkan penyalahgunaan atas kepentingan politik atau pentadbiran.
Menteri, pihak berkuasa penjara atau mana-mana badan eksekutif tidak sepatutnya mempunyai kuasa tanpa batas untuk menentukan siapa yang boleh menjalani tahanan rumah.
Undang-undang perlu menetapkan kriteria objektif, mewajibkan alasan bertulis bagi setiap keputusan, menyediakan pengawasan kehakiman serta memberi ruang sewajarnya kepada mangsa dan pihak pendakwaan untuk membangkitkan kebimbangan keselamatan yang berasas.
Setiap keputusan juga perlu boleh disemak dan dirayu, manakala laporan berkala kepada Parlimen perlu merangkumi jumlah permohonan, kelulusan, penolakan, pelanggaran syarat, pembatalan tahanan rumah serta kes pesalah mengulangi kesalahan.
Paling penting, undang-undang itu mesti terpakai secara sama rata kepada banduan biasa serta individu terkenal atau mereka yang mempunyai hubungan politik.
Kredibiliti sistem ini bukan sekadar bergantung pada kewujudan tahanan rumah, tetapi sama ada rakyat Malaysia yakin peraturan yang sama dikenakan kepada semua tanpa mengira status, kekayaan, kedudukan politik atau pengaruh.
Tahanan rumah boleh menjadi sebahagian daripada sistem pemulihan moden yang wajar jika dilaksanakan secara bersasar. Ia boleh mengurangkan tekanan akibat kesesakan penjara, membantu proses pemulihan serta membolehkan hubungan kekeluargaan dan pekerjaan dikekalkan.
Namun, ia tidak boleh dijadikan jalan mudah untuk mengelakkan hukuman penjara.
Malaysia seharusnya menggubal sistem berasaskan risiko yang dipantau ketat dan diletakkan di bawah pengawasan mahkamah, selain menetapkan pengecualian jelas terhadap pesalah keganasan serius dan mereka yang berisiko tinggi serta menyediakan perlindungan kukuh daripada pelaksanaan secara terpilih.
Matlamatnya bukan sekadar untuk mengurangkan jumlah individu di dalam penjara, tetapi membentuk sistem pemulihan yang jelas adil, telus, setimpal dengan kesalahan serta mampu melindungi keselamatan awam.
P Sundramoorthy ialah pakar kriminologi di Pusat Penyelidikan Dasar, Universiti Sains Malaysia. Beliau adalah pembaca FMT.
Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.