The Daily Newsstand · Free, Always
Monday, October 5, 2026

Suhakam gesa permudah saluran murid lapor penderaan seksual

Translate

Sekolah perlu menyediakan saluran boleh dipercayai untuk kanak-kanak melaporkan penderaan seksual, bukannya sekadar bergantung kepada pemeriksaan kesihatan tahunan bagi mengesan kejadian sedemikian, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Pesuruhjaya Kanak-kanaknya, Adib Samuri, berkata setiap sekolah perlu mempunyai pegawai terlatih yang dikenali, boleh dipercayai serta rasa selamat untuk didekati murid.

Jelasnya, sekolah juga perlu menyediakan saluran pelaporan bebas di luar institusi itu memandangkan individu didakwa pendera mungkin merupakan guru, kakitangan atau seseorang mempunyai kaitan dengan sekolah.

“Kanak-kanak mendedahkan penderaan apabila berasa selamat dan percaya tindakan akan diambil. Kita perlu membina kepercayaan itu setiap hari, bukannya menunggu pemeriksaan kesihatan tahunan,” katanya kepada FMT.

Beliau turut menekankan keperluan mengadakan sesi pemeriksaan peribadi secara berkala dengan golongan rentan, khasnya kanak-kanak di sekolah berasrama dan kurang upaya.

Gesaannya menyusul dua kes penderaan seksual telah lama berlaku di Johor yang didedahkan baru-baru ini ketika pemeriksaan kesihatan sekolah rutin oleh pasukan Kementerian Kesihatan.

Walaupun menyokong usaha memperluaskan pemeriksaan kesihatan sekolah ke seluruh negara, tegasnya prosedur sedemikian perlu dijalankan secara peribadi, tanpa rasa takut, stigma atau penghakiman.

Jelasnya, kes di Johor menunjukkan pasukan kesihatan sekolah boleh menjadi jaringan keselamatan penting, khasnya apabila pendera didakwa itu rapat dengan kanak-kanak, tetapi pelaksanaan lebih meluas perlu merangkumi penambahbaikan terhadap cara pemeriksaan dijalankan.

Beliau berkata, Seksyen 29A Akta Kanak-kanak 2001 membenarkan pelaporan sukarela oleh kakitangan sekolah, manakala Seksyen 27 mewajibkan pelaporan oleh pegawai perubatan.

Katanya, kerajaan perlu meneliti sama ada kewajipan melapor turut dikenakan terhadap golongan profesional tertentu yang berurusan rapat dengan kanak-kanak, termasuk guru, jururawat dan kaunselor.

Tetapi, beliau menegaskan pelaporan hanya perlu diwajibkan apabila terdapat asas munasabah untuk mengesyaki, dengan individu membuat laporan atas niat baik diberikan perlindungan undang-undang. Liabiliti harus tertumpu kepada kegagalan bertindak secara sengaja atau serius walaupun terdapat tanda amaran jelas.

“Fokus utama ialah melindungi kanak-kanak, bukannya menimbulkan ketakutan dalam kalangan kakitangan yang boleh menyebabkan laporan dibuat secara tidak wajar atau tanpa penelitian.”

Adib turut mengkritik proses penyerahan kes antara sekolah, KKM, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan polis yang disifatkannya tidak bersepadu.

“Kanak-kanak tidak patut dipindahkan dari satu agensi ke agensi lain ketika orang dewasa berbalah siapa bertanggungjawab. Sebaik sahaja wujud syak wasangka penderaan, proses pelaporan, penilaian keselamatan segera, rawatan perubatan, siasatan polis dan sokongan psikososial perlu dilaksanakan serentak.”

Beliau turut menggesa pendidikan praktikal berhubung keselamatan tubuh badan dimasukkan secara kekal dalam kurikulum sekolah kebangsaan supaya kanak-kanak dapat mempelajari batasan peribadi dan cara mendapatkan bantuan.

“Kita mesti ingat orang dewasa tetap memikul tanggungjawab mencegah penderaan dan mewujudkan persekitaran selamat.”

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.