Kementerian Pengangkutan kendali semua lesen bunkering tahun depan

Semua kelulusan lesen bunkering dan permit berkaitan akan dikendalikan Kementerian Pengangkutan (MOT) mulai 1 Feb 2027, sebagai sebahagian usaha menjadikan Malaysia hab Asia-Pasifik menjelang 2030.
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata MOT akan menjadi agensi peneraju tunggal sektor itu bagi memastikan proses kelulusan lebih jelas dan konsisten, selain memperkukuh aspek keselamatan, kualiti bahan api serta perlindungan alam sekitar.
“Mulai 1 Feb 2027, semua kelulusan untuk lesen bunkering dan permit berkaitan dijadualkan dikendalikan Kementerian Pengangkutan.
“Ini akan memberi pertanggungjawaban kepada pengendali dan menyokong keputusan lebih konsisten mengenai keselamatan, kualiti bahan api dan perlindungan alam sekitar,” katanya berucap pada Malaysia Maritime Week 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Loke berkata, penyusunan semula itu penting bagi membangunkan sektor bunkering yang lebih berdaya saing serta memenuhi keperluan industri perkapalan ketika dunia beralih kepada penggunaan bahan api marin lebih bersih.
Malaysia sebelum ini menetapkan sasaran menjadi hab bunkering Asia-Pasifik menjelang 2030.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan turut meneruskan inisiatif Malaysia Maritime Bunkering bagi membangunkan ekosistem bahan api marin yang lebih hijau dan mampan.
Katanya, Malaysia juga bekerjasama dengan Australia dalam membangunkan dasar serta rangka perundangan bagi green bunkering, termasuk penggunaan bahan api seperti gas asli cecair (LNG), biofuel dan metanol.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.