Malaysia ‘muak’ kuasa veto halang tindakan ke atas Gaza, ulangi gesaan mansuh

Malaysia mengulangi gesaan kuasa veto lima anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) dimansuhkan kerana “muak” ia digunakan berulang kali untuk menggagalkan usaha mengambil tindakan terhadap isu Gaza.
Menteri Luar, Mohamad Hasan, berkata Malaysia dan negara anggota lain telah berusaha sedaya upaya menuntut keadilan untuk Gaza, termasuk gesaan melaksanakan gencatan senjata segera, bantuan kemanusiaan tanpa sekatan, tindakan punitif terhadap Israel serta keahlian penuh Palestin dalam PBB.
“Namun, berkali-kali kehendak kolektif perhimpunan ini disekat oleh kuasa veto. Malaysia ingin menyatakan secara terus-terang: Kami muak dengan keadaan ini,” katanya ketika menyampaikan kenyataan negara pada sesi perbahasan umum Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-81 di sini.
Mohamad berkata, keperluan melakukan pembaharuan paling kritikal dalam UNSC, di mana penggunaan kuasa veto mesti dipersoalkan dan dicabar sekeras-kerasnya oleh setiap anggota UNGA, khasnya dalam kes membabitkan jenayah terhadap kemanusiaan.
Jelasnya, Resolusi 76/262 yang diterima pakai pada 2022 telah mewujudkan saluran akauntabiliti antara UNSC dan UNGA.
“Kita mesti memanfaatkan sepenuhnya resolusi ini sebagai landasan ke arah akauntabiliti lebih besar berhubung penggunaan kuasa veto.”
Tegasnya, memperluaskan keanggotaan UNSC semata-mata tidak memadai untuk menangani kelemahannya.
“Kuasa veto inilah yang mesti dicabar, dan kuasa veto inilah yang mesti dihapuskan. Kita mesti memulakan usaha ini sekarang.”
Sebelum ini, Malaysia menggesa pemansuhan kuasa veto, di samping menyokong sekatan terhadap penggunaannya dalam kes membabitkan pelanggaran serius undang-undang antarabangsa, jika pemansuhan sepenuhnya tidak dapat dicapai.
Pada masa sama, Malaysia turut menyokong usaha memperluaskan jumlah anggota tetap dan tidak tetap UNSC untuk menjadikan badan itu lebih inklusif serta mewakili pelbagai pihak.
UNSC sering menemui jalan buntu dalam usaha mencapai gencatan senjata di Gaza, dengan Amerika Syarikat menggunakan kuasa veto menghalang beberapa resolusi, walaupun mendapat sokongan meluas anggota lain.
Pada Jun 2025, AS menggunakan kuasa veto terhadap draf resolusi menggesa gencatan senjata segera dan kekal di Gaza, walaupun 14 anggota lain menyokongnya. Washington sekali lagi menggunakan kuasa veto terhadap resolusi gencatan senjata Gaza sama pada September tahun lalu.
Mohamad dalam ucapan penutupnya berkata, PBB perlu melakukan pembaharuan terhadap institusi yang tidak lagi mencerminkan realiti semasa serta memastikan peraturan sistem global diguna pakai secara saksama kepada semua pihak.
Jelasnya, Malaysia terus berpegang kepada prinsip multilateralisme, “khasnya apabila pilihan lain ialah dunia yang dikuasai kuasa semata-mata”.
“Malaysia tidak akan berpaling daripada PBB pada saat ia berdepan kesukaran.
“Kami tidak akan meninggalkan multilateralisme hanya kerana ia tidak sempurna. Kami akan berusaha untuk menjadikannya layak menerima kepercayaan.”
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.