Syarikat wajar pecat pegawai sorok sabitan jenayah, putus mahkamah

Tindakan menyembunyikan sabitan jenayah ketika menerima tawaran pekerjaan merupakan perkara serius kerana ia menjejaskan kepercayaan dan keyakinan yang menjadi asas penting dalam hubungan pekerjaan, menurut Mahkamah Perusahaan.
Pengerusi Mahkamah Perusahaan Pulau Pinang Rusita Md Lazim berkata, majikan pada dasarnya boleh memecat pekerja tanpa notis, namun tindakan itu sewajarnya mengikut prosedur tatatertib yang adil.
Beliau berkata, sabitan jenayah tidak memberi hak mutlak kepada majikan untuk memecat seseorang pekerja secara automatik, namun apabila pekerja sengaja membuat kenyataan palsu atau merahsiakan sabitan jenayah yang material semasa proses pengambilan kerja, ketidakjujuran itu boleh disifatkan sebagai salah laku berat dan menjadi alasan adil serta bersebab untuk pemecatan.
Sehubungan itu, mahkamah mengekalkan pemecatan seorang pegawai keselamatan dan kesihatan oleh Joe Green Precast Sdn Bhd.

Rusita menjelaskan, jawatan itu menuntut individu berintegriti tinggi, mematuhi peraturan, dan memiliki kemahiran pengurusan risiko.
“Pihak menuntut sedar bahawa peluangnya untuk diterima menjawat jawatan penting itu tipis jika dia mengaku pernah disabitkan kesalahan dan didenda di mahkamah kerana mencuri.
“Ini jelas menunjukkan niat tersembunyinya telah mendorong tindakan menyembunyikan maklumat secara sengaja yang sukar dimaafkan,” katanya dalam award yang dikeluarkan bulan lepas.
Beliau berkata, kepercayaan penuh mendorong syarikat melantik pihak yang menuntut tanpa ragu-ragu, dan atas sebab itu, kegagalannya mendedahkan sabitan berkenaan dianggap sebagai salah laku serius.
Katanya, antara hujah utama pihak yang menuntut adalah dia tidak tahu bahawa dakwaannya di mahkamah, serta denda RM5,000 atas kesalahan mencuri daripada salah sebuah bekas majikannya dikira sebagai sabitan jenayah, menyebabkan dia mengisi ruangan soalan mengenai rekod lampau itu dengan jawapan ‘N/A’ atau tidak berkenaan.
“Mahkamah mendapati alasan tersebut tidak dapat dipertahankan. Kepercayaan majikan terhadapnya terjejas apabila syarikat mendapati individu yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga aset bernilai tinggi rupa-rupanya mempunyai sabitan lampau kerana mencuri daripada majikan terdahulu.
“Walaupun tiada inkuiri dibuat sebelum ini, sabitan jenayah tetap boleh menjadi asas sah bagi pemecatan sekiranya jenis kesalahan itu menjadikan pekerja tidak lagi sesuai untuk berkhidmat.
“Sebagai contoh, sabitan atas kesalahan penipuan, ketidakjujuran, atau kecurian adalah amat serius bagi seseorang yang memegang jawatan berasaskan amanah,” katanya.
Perkhidmatan pihak yang menuntut ditamatkan 10 bulan selepas dia dilantik sebagai pegawai keselamatan dan kesihatan di kilang syarikat berkenaan di Senai dan Seelong pada April 2021.
Syarikat diwakili peguam SK Low, manakala G Sritharan mewakili pihak yang menuntut.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.