DAP tersepit antara sokongan Cina dan usaha tarik pengundi Melayu

DAP berdepan dilema untuk mengekalkan sokongan teras masyarakat Cina sambil cuba menembusi kelompok pengundi Melayu menjelang PRU16, kata penganalisis.
James Chin daripada Universiti Tasmania berkata, pengundi tradisional Cina masih menyokong DAP dan memahami keperluan parti itu berkompromi sebagai sebahagian kerajaan gabungan.
Namun, katanya, kekecewaan penyokong lebih berkait dengan agenda reformasi politik yang dilihat terhenti bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Katanya, pada masa sama usaha DAP menarik pengundi Melayu berdepan cabaran besar berikutan persepsi parti itu anti-Melayu dan anti-Islam yang terbentuk selama lima dekad.

“Kepimpinan DAP berjalan di atas tali yang sangat sukar antara mereka yang mahu DAP kekal dengan akar teras Cina dan pada masa sama menyedari populasi orang Cina semakin berkurang.
“Jika DAP tidak mendapat sokongan daripada komuniti Melayu atau India, parti itu akan menjadi semakin kecil pada tahun mendatang,” katanya kepada FMT.
Menurut Chin, sebahagian penyokong tegar Cina juga kurang selesa dengan usaha DAP memperluas sokongan kerana mahu parti itu kekal berasaskan masyarakat Cina.
Sementaraz itu, Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata sukar bagi DAP membendung persepsi anti-Islam dalam kalangan pengundi Melayu, terutama susulan perkembangan politik selepas 2018.
Beliau menyarankan DAP memberi lebih tumpuan kepada penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat Melayu, selain mengiktiraf kedudukan mereka sebagai majoriti.

Katanya, DAP juga perlu mengelak menyalahkan masyarakat Melayu secara pukal atau melabel semua pengundi konservatif dan PAS sebagai anti-Cina atau anti-India.
Sebaliknya, katanya, parti itu wajar menumpukan kritikan kepada individu atau organisasi yang sengaja mencetuskan ketegangan.
“Saya faham naratif ini mungkin sukar diterima dan mungkin dituduh berkorban prinsip kesamarataan.
“Tetapi menunjukkan kefahaman adalah langkah terbaik untuk memastikan hak bukan Melayu terus terpelihara tanpa dilihat mencabar orang Melayu,” katanya.
Kelmarin, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, dilaporkan berkata parti itu perlu membina semula sokongan di luar kelompok pengundi tradisi menjelang PRU16, sambil mempertahankan sokongan teras masyarakat Cina.
Beliau percaya DAP masih mampu memperoleh kira-kira 80% sokongan pengundi Cina berdasarkan keputusan PRN baru-baru ini, namun mengakui sukar untuk mencapai 90%.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.