‘U-turn’ kuota bahan api masuk akal dari sudut ekonomi, kata ahli akademik

Keputusan kerajaan mengurangkan kuota BUDI95 pada April sebelum mengembalikannya bulan ini mungkin dilihat sebagai ‘U-turn’ politik, namun dua langkah itu boleh dijelaskan dari sudut ekonomi.

Tan Peck Leong, ahli ekonomi dari Universiti Teknologi Mara, berkata pengurangan kuota daripada 300 liter kepada 200 liter pada April dibuat ketika harga minyak global berada pada paras tinggi dengan kos mengekalkan harga subsidi RON95 pada RM1.99 seliter meningkat ketara.
“Dari sudut ekonomi, pengurangan kuota bulanan daripada 300 liter kepada 200 liter dalam tempoh itu adalah munasabah.
“Kerajaan tidak menarik balik subsidi atau menaikkan harga subsidi. Ia sekadar mengehadkan jumlah maksimum petrol bersubsidi yang boleh dibeli setiap individu ketika kos setiap liter subsidi kepada Perbendaharaan semakin meningkat,” katanya kepada FMT.
Kenyataan Tan menyusuli sindiran Presiden Umno Zahid Hamidi terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung perubahan kuota tersebut, sambil mendakwa kerajaan mengembalikan kelayakan 300 liter kerana ‘takut’ menjelang pilihan raya.
Tan berkata, data penggunaan turut menunjukkan kurang 1% pengguna BUDI95 secara konsisten menggunakan lebih 200 liter sebulan, manakala purata penggunaan sekitar 100 liter.
Dalam pengiraan ilustrasi, beliau menganggarkan sekiranya kira-kira 1% daripada 16 juta pengguna BUDI95 menggunakan sepenuhnya tambahan 100 liter pada April, mengekalkan kuota 300 liter boleh menyebabkan kerajaan menanggung tambahan kos sekitar RM36.5 juta pada bulan berkenaan.
Beliau berkata, jumlah 16 juta liter yang sama akan menelan kos sekitar RM29.3 juta ketika jurang subsidi lebih rendah apabila kuota dipulihkan, atau kira-kira RM7.2 juta kurang. Ini tidak termasuk BUDI Diesel.
“Pengiraan ekonomi menunjukkan bahawa menggambarkannya semata-mata sebagai langkah politik adalah terlalu simplistik,” katanya.
Pengurangan kuota berkuat kuasa pada 1 April ketika pasaran minyak global berdepan ketidaktentuan susulan peningkatan konflik Amerika Syarikat-Iran.
Harga minyak mentah Brent terus meningkat pada bulan itu sehingga mencecah USD126.41 setong pada 30 April, paras tertinggi dalam tempoh lebih empat tahun.
Di Malaysia, RON95 tanpa subsidi berharga RM4.27 seliter bagi tempoh 9 hingga 15 April, berbanding harga BUDI95 bersubsidi RM1.99.
Menjelang 28 Ogos, tidak lama sebelum Anwar mengumumkan pemulihan kuota 300 liter, harga Brent susut kepada USD89.31 setong, manakala RON95 tanpa subsidi berharga RM3.82 seliter bagi tempoh 27 Ogos hingga 2 Sept.
Tan berkata, pemulihan kuota itu tidak bermakna rakyat Malaysia tiba-tiba menggunakan bahan api lebih banyak.
Sebaliknya, beliau berkata tambahan 100 liter bagi BUDI95 dan BUDI Diesel sebahagian besarnya berfungsi sebagai penampan kepada pengguna yang mungkin sekali-sekala perlu melakukan perjalanan jauh atau berdepan bulan penggunaan lebih tinggi, terutama mereka di kawasan luar bandar Malaysia Timur.
“Perbezaannya agak jelas: 200 liter lebih cekap dari sudut fiskal, manakala 300 liter memberi lebih ketenangan kepada pengguna,” katanya.
“Kerajaan nampaknya bersedia menerima sedikit tambahan pendedahan fiskal sebagai pertukaran kepada keyakinan dan penerimaan awam yang lebih tinggi terhadap sistem subsidi bersasar.”
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata pengurangan dan pemulihan kuota itu tidak semestinya dianggap sebagai ‘U-turn’, sekiranya kerajaan dapat menerangkan secara jelas keadaan mendorong dua keputusan berkenaan.

Namun, beliau berkata ketika pengumuman Anwar itu mendapat perhatian memandangkan PRU akan datang semakin hampir, memudahkan pihak lawan menggambarkan langkah terbabit sebagai perubahan pendirian atau ‘tawaran menjelang pilihan raya’.
Syaza berkata, pemulihan kuota itu benar-benar menjawab kebimbangan rakyat, pada masa sama membawa manfaat politik kepada kerajaan.
“Kalau rakyat rasa terbeban, sudah tentu ia akan memberi kesan kepada sokongan mereka terhadap kerajaan. Jadi, bagi saya, keduanya boleh berlaku pada masa yang sama,” katanya.
Beliau menambah, kritikan Zahid juga perlu dilihat dalam konteks dua peranannya sebagai timbalan perdana menteri dan presiden Umno.
Syaza berkata, sebagai ahli Jemaah Menteri, Zahid berkongsi tanggungjawab kolektif terhadap keputusan kerajaan, manakala kenyataannya pada Perhimpunan Agung Umno juga boleh dilihat daripada kedudukannya sebagai presiden parti menjelang PRU akan datang.
“Kita tahu Zahid ialah timbalan perdana menteri dan berada dalam Jemaah Menteri, jadi beliau juga sepatutnya berkongsi tanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat secara kolektif oleh kerajaan,” katanya.
“Pada masa sama, beliau ialah presiden Umno, dan Umno semakin membezakan dirinya daripada PH.
“Jadi, perkara ini boleh dibaca lebih daripada kedudukannya sebagai presiden Umno menjelang pilihan raya, dan bukan semata-mata sebagai timbalan perdana menteri.”
Tan berkata, sebarang pelarasan kuota pada masa depan akan lebih mudah dipertahankan sekiranya kerajaan menetapkan garis panduan lebih jelas yang mengaitkannya dengan harga minyak, subsidi seliter atau keseluruhan bil subsidi bulanan.
Beliau berkata, langkah itu akan menjadikan dasar lebih mudah dijangka dan mengurangkan persepsi perubahan kuota didorong terutamanya pertimbangan politik.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.