Malaysia tak perlu pertimbang pengembirian kimia, kata pakar

Malaysia tidak perlu mempertimbangkan kaedah pemgembirian kimia sebagai hukuman terhadap pesalah seksual, termasuk pesalah berulang, kata peguam dan pakar kriminologi.

Presiden Persatuan Peguam Wanita, Jasmine Wong, berkata hukuman itu bersandarkan andaian salah bahawa keganasan seksual didorong nafsu atau dorongan tidak terkawal, tetapi kajian menunjukkan sebaliknya.
“Kajian secara konsisten menunjukkan rogol dan keganasan seksual didorong faktor kuasa, kawalan, ketidaksamaan gender serta budaya yang menormalisasikan keganasan itu. Menganggapnya boleh dikekang secara perubatan adalah salah diagnosis terhadap masalah sebenar,” katanya kepada FMT.
Wong berkata, hukuman itu bercanggah dengan hak Perlembagaan berhubung integriti badan dan kebebasan peribadi, sekali gus menimbulkan persoalan utama: adakah campur tangan perubatan tanpa persetujuan boleh dijadikan hukuman di negara ini?
Memandangkan Malaysia belum meratifikasi perjanjian antarabangsa melarang hukuman kejam, beliau berkata, terpulang kepada mahkamah untuk menentukan sama ada pengembirian kimia sesuai dilaksanakan, jika ada usaha memperkenalkannya.
Beliau turut bimbang hukuman itu mungkin dilaksanakan secara tidak konsisten memandangkan sistem keadilan jenayah Malaysia sudah menghadapi ketidaksamaan tertentu.
“Akses kepada khidmat guaman baik, kedudukan sosial dan sumber telah mempengaruhi siapa yang disabitkan berslaah serta tahap hukuman dikenakan. Hukuman begitu invasif, apabila ditambah dalam sistem mempunyai ketidaksamarataan, berisiko menjadi alat menghukum sesetengah pesalah lebih berat berbanding yang lain, bukannya menjadi pencegah sebenar.”
“Dalam keadaan di mana kecenderungan konservatif dan autoritarian semakin meningkat, saya sangat berhati-hati untuk mengiktiraf campur tangan seperti ini terhadap badan seseorang.”

Bekas presiden Badan Peguam, Salim Bashir, berkata tiada bukti saintifik pengembirian kimia boleh menjadi penyelesaian mutlak dalam membendung keganasan seksual, selain hukuman itu sendiri tidak berperikemanusiaan, menjatuhkan maruah dan membawa kesan berlebihan.
Salim berkata, pesalah seksual yang disabitkan kesalahan lebih wajar dikenakan pemantauan rapi dan kawal selia oleh pihak polis selepas menjalani hukuman penjara.
“Pendekatan holistik perlu dirangka untuk menguruskan rutin harian mereka, dengan aktiviti positif bagi membantu mengawal pemikiran dan tingkah laku seksual supaya mereka tidak terbabit perlakuan bersifat penderaan seksual.”
Selasa lalu, Menteri Dalam Negeri Singapura, K Shanmugam dilaporkan berkata, negara itu terbuka mempertimbangkan pengembirian kimia terhadap pesalah seksual, jika terdapat bukti konklusif ia boleh mengurangkan jenayah seksual sedemikian.
Tetapi, tegasnya, bukti yang menyokong hukuman itu belum konklusif.
Negara seperti Korea, Indonesia dan Kazakhstan telah mewajibkan hukuman itu bagi kategori tertentu pesalah seksual — khususnya individu melakukan kesalahan terhadap kanak-kanak — manakala Thailand, Denmark, Jerman dan Sweden menawarkan pengembirian kimia secara sukarela.
Bukan semua kesalahan seksual didorong motivasi sama

Ahli kriminologi dari Universiti Sains Malaysia, P Sundramoorthy, berkata kesalahan seksual didorong pelbagai motivasi, termasuk dorongan seksual kompulsif, kuasa, kawalan, kemarahan, penyalahgunaan bahan atau faktor sosial lebih luas.
Katanya, ini bermakna pengembirian kimia hanya akan menangani satu komponen yang mendorong tingkah laku jenayah itu.
Jelasnya, langkah itu hanya dapat mengurangkan nafsu seks pesalah, tetapi tidak mampu menghapuskan sikap, fantasi, penyelewengan kognitif, sifat agresif, keinginan terhadap kuasa dan kawalan atau kemampuan mengeksploitasi mangsa rentan.
Walaupun terdapat bukti langkah itu boleh mengurangkan jenayah berulang sesetengah pesalah, tetapi ia tidak bermakna akan berkesan untuk semua kategori pesalah.
“Kita perlu mewujudkan rangka kerja sesuai bagi mengenal pasti pesalah berisiko tinggi, menilai punca tingkah laku jenayah mereka dan menentukan intervensi paling sesuai untuk setiap individu terlebih dahulu.
“Jika kaedah itu dipertimbangkan, ia mesti berasaskan penilaian klinikal, pengawasan kehakiman, persetujuan termaklum atau rangka kerja undang-undang jelas, pemantauan perubatan serta penilaian risiko berkala.”
Undang-undang Malaysia cukup tegas, tetapi boleh diperkukuh
Wong berkata, hukuman sedia ada di Malaysia terhadap kesalahan seksual sudah cukup berat, tetapi beberapa penambahbaikan boleh dilakukan dalam aspek pemantauan dan pemulihan pesalah.
Ketika ini, jelasnya, serangan seksual terhadap kanak-kanak boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun, manakala rogol membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun.
“Pengawasan polis masih terhad dari segi skop dan tempoh. Kita boleh mempertimbang untuk melanjutkan pengawasan polis melebihi tiga tahun serta melaksanakan sistem pemantauan berperingkat berasaskan risiko.
“Sudah tentu, pemulihan tidak patut diserahkan kepada budi bicara kehakiman. Penilaian psikologi, terapi dan kaunseling wajib dijadikan amalan tetap, bukan bergantung kepada hakim.”
Beliau turut menggesa kerajaan memperkukuh fungsi daftar pesalah seksual dengan menjadikan saringan mandatori bagi pemohon jawatan membabitkan kanak-kanak.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.