Pengampunan Najib tangguh kena tanya Hannah, kata Azalina

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Azalina Othman Said mengelak daripada menjawab soalan mengenai penangguhan permohonan pengampunan bekas perdana menteri Najib Razak.
Azalina berkata beliau bukan menteri yang bertanggungjawab dalam perkara itu, dan meminta pemberita mengemukakan soalan mereka kepada Menteri Wilayah Persekutuan Hannah Yeoh, yang menganggotai Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP).
“Walaupun Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) bawah saya, isu lembaga pengampunan tiap-tiap negeri.
“BHEUU adalah sekretariat tetapi menteri dan menteri besar negeri berkenaan adalah wakil eksekutif dalam lembaga pengampunan,” katanya.
Pada Jumaat, BHEUU berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menangguhkan permohonan Najib ke mesyuarat seterusnya.
PAS kemudiannya menggesa kerajaan menjelaskan mengapa sebab permohonan itu ditangguhkan, dengan berkata perkara itu merupakan isu berkepentingan awam.
Najib, 72, disabitkan enam tahun lalu kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International. Beliau didenda RM210 juta dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun, yang dijalaninya di Penjara Kajang sejak Ogos 2022.
LPWP kemudian mengurangkan hukuman penjaranya kepada enam tahun dan denda kepada RM50 juta.
Pada Disember tahun lalu, Najib disabitkan atas kesalahan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM2 bilion yang dikaitkan dengan 1MDB. Beliau dihukum penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion. Najib sedang merayu terhadap sabitan itu.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.