Banjir kilat landa beberapa kawasan di ibu negara
Beberapa kawasan di ibu negara termasuk Sentul, Setapak, dan Kampung Baru dilanda banjir kilat susulan hujan lebat dan angin kencang sekitar 2.30 petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.01 petang berhubung sebuah kereta terperangkap dalam banjir kilat berhampiran Hospital Sentul, Jalan Sentul Selatan.
Menurut Bernama, enam anggota Balai Bomba Sentul digerakkan ke lokasi kejadian dan mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Lumpur, Cheras, dan Sentul merangkap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Lumpur, Mohamad Aminullah Zulkafly, berkata empat anggota digerakkan pada 4.34 petang bagi memantau kawasan panas banjir kilat di Kampung Periuk, Kampung Baru.
Beliau berkata, hasil pemantauan mendapati kawasan berkenaan masih dinaiki air sebelum pam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diaktifkan pada 4.54 petang bagi membantu menyurutkan air, manakala kerja pemantauan selesai pada 5.06 petang.
Terdahulu, hujan lebat turut menyebabkan beberapa laluan utama di sekitar Sentul dinaiki air sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas, selain siren amaran banjir dilaporkan turut dibunyikan di kawasan berkenaan.
Berdasarkan perkongsian di Threads, antara lokasi terjejas termasuklah laluan di sekitar Masjid Al-Hidayah Sentul, Sentul Pasar berhampiran pasar raya OTK serta di hadapan Sekolah Kebangsaan Sentul selain laluan di Jalan Genting Klang menghala ke Setapak Central.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.
