KPWKM peruntuk RM1 juta bantu wanita mangsa keganasan tahun ini

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperuntukkan kira-kira RM1 juta tahun ini bagi membantu wanita yang berdepan kesukaran kewangan, termasuk mangsa keganasan rumah tangga yang perlu membawa anak-anak dan meninggalkan pasangan mereka.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata, usaha itu sebahagian langkah memperkukuh perlindungan dan bantuan kepada mangsa, merangkumi sokongan kewangan, khidmat guaman, intervensi awal serta penempatan sementara melalui kerjasama NGO.
“KPWKM turut mempergiat program kesedaran bagi membantu wanita mengenal pasti bentuk penderaan, memahami hak di sisi undang-undang serta mendapatkan perlindungan dan bantuan untuk keluar daripada persekitaran rumah yang membahayakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Road to Eliminate Violence Against Women sempena Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita peringkat Pulau Pinang 2026 hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying dan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Hanani Sapit.
Nancy berkata, inisiatif bantuan kewangan itu dimulakan tahun ini dan pelaksanaannya diharap dapat diperkukuh tahun depan, bagi memastikan lebih ramai wanita yang memerlukan mendapat bantuan sewajarnya.
Katanya, KPWKM juga menyediakan rumah transit di setiap negeri untuk menempatkan mangsa buat sementara waktu, dengan kemudahan itu disediakan menerusi kerjasama NGO.
“Mangsa boleh mendapatkan maklumat dan bantuan melalui Pejabat Pembangunan Wanita di setiap negeri bagi membolehkan mereka menerima khidmat sokongan serta rujukan yang bersesuaian, termasuk maklumat berkaitan undang-undang,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, KPWKM turut menyediakan khidmat kaunseling, sokongan psikososial dan rujukan kepada agensi berkaitan bagi membantu mangsa mendapatkan perlindungan mengikut keperluan mereka.
Nancy ketika mengulas mengenai pelaksanaan Pusat Kecemerlangan Kebangsaan bagi Penjagaan Warga Emas (NICE) yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 berkata ia sebagai usaha memperkukuh ekonomi penjagaan negara, termasuk menyediakan perkhidmatan penjagaan warga emas yang lebih tersusun.
Beliau bagaimanapun berkata, perincian pelaksanaan pusat itu di Pulau Pinang dan Sarawak masih dalam perbincangan, termasuk aspek infrastruktur.
“KPWKM akan meneliti perancangan itu dan mengadakan perbincangan dengan kerajaan kedua-dua negeri, susulan pengumuman peruntukan bagi inisiatif berkenaan dalam Belanjawan 2027,” katanya.
Nancy yang menyambut baik inisiatif berkenaan berkata, peruntukan itu menyokong perancangan untuk memperkukuh sektor penjagaan warga emas di seluruh negara pada masa hadapan walaupun pelaksanaan awal hanya melibatkan dua negeri.
Menurut Nancy, inisiatif itu membolehkan KPWKM meneruskan perancangan berkaitan penjagaan warga emas sementara keseluruhan aspek, khususnya berkaitan infrastruktur perlu diteliti memandangkan kebanyakan perkhidmatan penjagaan ketika ini disediakan oleh pihak swasta, termasuk NGO.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2027 mengumumkan dua NICE dibangunkan di Pulau Pinang dan Sarawak bagi tujuan latihan, penyelidikan serta penjagaan warga emas dalam usaha bagi mempersiap negara menuju status negara tua.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.