Kuskop, Tekun bantu usahawan bangkit daripada krisis, kembangkan perniagaan

Bermula dengan modal hanya RM500, bekas kapten Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Norisham Kadmin, membina perniagaannya sebelum berdepan pelbagai musibah termasuk kebakaran, banjir besar dan pandemik Covid-19 yang hampir melumpuhkan operasinya.

Selepas lebih sedekad berkhidmat dalam ATM, Norisham, 51, memilih bidang keusahawanan dan mula menceburi industri batik sekitar 2010.
Ketika perniagaannya berdepan kesukaran, pembiayaan kira-kira RM100,000 daripada Tekun Nasional pada 2023 membantunya meneruskan perniagaan yang dibina sejak lebih sedekad lalu.
“Saya fikir perniagaan ini sudah sampai saat perlu diberi ‘CPR’. Ketika itulah Tekun datang membantu menghidupkan semula perniagaan kami,” kata pengarah urusan Batik House Sdn Bhd itu kepada FMT.
“Tekun bukan sekadar bagi pinjaman, mereka ambil tahu keadaan kita, jemput ke kursus, ekspo dan sentiasa bantu usahawan berkembang,” katanya.
Tekun Nasional agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) yang menyediakan pembiayaan mikro serta sokongan pembangunan kepada usahawan.
Pengalaman Norisham antara tiga kisah usahawan daripada latar belakang dan industri berbeza yang mendapat manfaat daripada pembiayaan dan bimbingan Tekun.
Walaupun berdepan cabaran berbeza, ketiga-tiganya berkongsi pengalaman mendapat sokongan Tekun untuk meneruskan dan mengembangkan perniagaan ketika akses kepada pembiayaan daripada institusi kewangan lain tidak mudah diperoleh.
Modal jadi titik perubahan
Bagi Pengarah Urusan Vision Automotive Technology Sdn Bhd, R Samanan, hasrat membina bengkel sendiri bermula daripada impian bapanya yang mahu melihat beliau berjaya dalam bidang automotif.

Berbekalkan pengalaman dalam industri itu, Samanan menubuhkan Vision Automotive pada 2003 sebelum memperoleh pembiayaan RM50,000 daripada Tekun pada 2013.
Pembiayaan itu menjadi pemangkin untuk mengembangkan operasi syarikatnya.
Empat tahun kemudian, beliau menerima pembiayaan tambahan RM80,000 pada 2017 yang digunakan untuk membeli premis perniagaan sendiri.
“Pusingan modal itulah yang mengubah perjalanan syarikat kami. Dari situ kami berkembang sedikit demi sedikit,” katanya.
Tekun universiti kehidupan
Bagi pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Neuronworks International Serantau Berhad, Mohd Rizal Rashid, Tekun mempunyai makna tersendiri kerana beliau pernah berkhidmat dengan agensi itu sebelum menceburi bidang keusahawanan.

Berhijrah dari Kota Kinabalu ke Semenanjung lebih 26 tahun lalu, pengalaman bekerja dengan Tekun memberinya keyakinan untuk memulakan perniagaan sendiri selepas menyaksikan ramai usahawan mendapat manfaat daripada bantuan agensi berkenaan.
Beliau kemudian menubuhkan Neuronworks pada 2015 dan mengembangkan kerjaya sebagai pakar motivasi dan komunikasi sebelum menerima pembiayaan RM50,000 daripada Tekun, diikuti pembiayaan tambahan RM100,000 berdasarkan rekod bayaran balik yang baik.
Pembiayaan itu digunakan untuk melengkapkan fasiliti latihan dan mengembangkan operasi syarikatnya yang kini berjaya melatih lebih 70,000 individu, termasuk usahawan, profesional, penjawat awam, pempengaruh dan ahli politik.
“Tekun ialah universiti kehidupan saya. Saya melihat ramai usahawan berjaya dibantu dan akhirnya saya sendiri mahu menjadi sebahagian daripada mereka,” katanya.
Dulu dokumen tebal, kini di hujung jari
Ketiga-tiga usahawan itu turut menyambut baik pembaharuan yang diperkenalkan Kuskop di bawah kepimpinan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim, bagi memudahkan akses kepada pembiayaan.
Antara inisiatif tersebut ialah pelancaran Sistem Tekun Online tahun ini yang membolehkan usahawan membuat permohonan pembiayaan sepenuhnya secara dalam talian.
Menerusi penambahbaikan proses kelulusan, pembiayaan mikro sehingga RM20,000 bakal diluluskan seawal 24 jam, manakala pembiayaan sehingga RM100,000 seawal tujuh hari bekerja selepas dokumen lengkap diterima.
Norisham menyifatkan pembaharuan itu sebagai langkah positif untuk mengurangkan birokrasi dan mempercepatkan proses pembiayaan kepada usahawan.
“Apabila saya dapat tahu Kuskop di bawah Steven Sim memperkenalkan kelulusan seawal tujuh hari, saya fikir ia satu pembaharuan yang sangat baik kerana dapat mengurangkan birokrasi,” katanya.
“Sistem kelulusan yang lebih pantas ini memudahkan usahawan. Lebih penting, Tekun terus bersama kita melalui kursus, ekspo dan bimbingan,” katanya.
Samanan pula berkata, proses permohonan kini jauh lebih mudah berbanding ketika beliau mendapatkan pembiayaan lebih sedekad lalu.
“Dulu masa saya mohon, semuanya masih manual. Dokumen pun tebal macam ini. Sekarang dah ‘online’,” katanya.
Selain memudahkan proses permohonan, kerajaan turut meningkatkan sokongan kepada usahawan menerusi peruntukan pembiayaan RM1 bilion kepada usahawan mikro Bumiputera tahun ini melalui Tekun.
Peruntukan Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) turut dinaikkan daripada RM75 juta tahun lalu kepada RM120 juta tahun ini.
Bukan sekadar modal tetapi rakan pembangunan usahawan
Kisah Norisham, Samanan dan Rizal menunjukkan walaupun cabaran setiap perniagaan berbeza, akses kepada pembiayaan dan bimbingan yang bersesuaian mampu membantu usahawan meneruskan serta mengembangkan operasi mereka.
Seiring pembaharuan yang diperkenalkan Kuskop di bawah kepimpinan Sim, Tekun terus memperkukuh peranannya bukan sekadar sebagai penyedia pembiayaan, malah sebagai rakan pembangunan usahawan menerusi latihan, bimbingan dan pelaksanaan sistem permohonan dalam talian.
Bagi Rizal, yang pernah menjadi kakitangan Tekun sebelum menerima pembiayaa untuk mengembangkan syarikatnya sendiri, sokongan berterusan agensi itu turut memberi keyakinan kepada usahawan.
“Tekun bukan sekadar menyediakan modal. Mereka sentiasa mengambil berat perkembangan usahawan dan memberi keyakinan untuk kami terus melangkah lebih jauh,” katanya.
Pembiayaan diperluas, proses dipermudah Sejak Sim menerajui Kuskop pada Disember 2025, beberapa pembaharuan dan inisiatif diperkenalkan melalui Tekun Nasional bagi mempercepatkan proses permohonan serta memperluas akses pembiayaan kepada usahawan mikro.
Permohonan secara dalam talian: Buat pertama kali dalam sejarah hampir 30 tahun
penubuhannya, Tekun melancarkan Sistem Tekun Online pada Ogos 2026, membolehkan usahawan memohon pembiayaan sepenuhnya secara dalam talian.
Kelulusan lebih pantas: Tempoh pemprosesan pembiayaan sehingga RM100,000 dipendekkan daripada kira-kira 30 hari kepada tujuh hari bekerja. Bagi pembiayaan mikro sehingga RM20,000, Tekun sedang berusaha mencapai sasaran kelulusan seawal 24 jam selepas dokumen lengkap diterima. Sehingga Julai 2026, sebanyak 74.5% daripada hampir 31,000 pembiayaan yang diluluskan mendapat kelulusan dalam tempoh satu hingga lima hari.
Pembiayaan Bumiputera: Peruntukan ditingkatkan daripada RM300 juta pada 2025 kepada RM500 juta, sebelum dinaikkan lagi kepada RM1 bilion pada 2026.
Pembiayaan usahawan India: Peruntukan SPUMI ditingkatkan daripada RM75 juta pada 2025 kepada RM120 juta pada 2026.
Pembiayaan musim perayaan: Skim Barakat Ramadan diperkenalkan dengan dana RM50 juta bagi membantu peniaga menjelang Ramadan dan Aidilfitri, manakala Berkat Deepavali menyediakan modal pusingan kepada usahawan India menjelang perayaan.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.