Bersatu salahkan PAS atas pembatalan pendaftaran PN

Bersatu menyalahkan kepimpinan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui PAS atas pembatalan pendaftaran gabungan itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).
Setiausaha agungnya, Mohamed Azmin Ali, mendakwa keputusan itu membuktikan kepimpinan PN melanggar Akta Pertubuhan 1966 serta perlembagaan gabungan.
“Tindakan kepimpinan PN dipengerusikan PAS menafikan hak Bersatu untuk menghadiri, memberi pendapat dan mengundi di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional pada 16 Jul adalah satu kesalahan yang ‘fatal’ dan pelanggaran Fasal 7.1 Perlembagaan Parti Perikatan Nasional.
“Tindakan melanggar undang-undang membawa mudarat besar dan dampaknya akan menghancurkan masa depan PN,” katanya dalam kenyataan.
Awal hari ini, JPPM mengumumkan pembatalan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan dalam notis terdahulu.
Jabatan itu berkata keputusan dibuat selepas meneliti dokumen dan penjelasan PN yang diterima pada 12 Okt, yang didapati tidak memberikan justifikasi kukuh untuk mengekalkan pendaftarannya.
Setiausaha Agung PN Takiyuddin Hassan berkata gabungan itu akan mencabar kesahan perintah pembatalan dan memohon supaya pelaksanaan serta kesannya ditangguhkan sementara menunggu penentuan mahkamah.
Azmin turut mendakwa wujud ancaman dan tekanan untuk menggugurkan keanggotaan Bersatu melalui penggunaan kuasa veto oleh individu yang bukan pemegang jawatan dalam Majlis Tertinggi PN.
Beliau tidak menamakan individu berkenaan dalam kenyataan itu.
Pertahan aduan kepada JPPM
Azmin mempertahankan aduan Bersatu kepada JPPM pada 11 Ogos, dengan berkata tindakan itu bertujuan memastikan PN diurus secara bertanggungjawab, telus dan berintegriti serta mematuhi undang-undang dan perlembagaannya.
Katanya, Bersatu memberikan keterangan kepada JPPM pada 18 Ogos, termasuk penjelasan dan bukti yang menurutnya menunjukkan hak parti itu dalam gabungan telah dinafikan.
Azmin turut mengkritik PAS dan sekutunya berhubung gambaran yang diberikan mengenai pembatalan pendaftaran gabungan itu.
“Hari ini, PAS dan sekutunya memberi gambaran seolah-olah mereka adalah mangsa politik dan cuba meraih simpati menjelang PRN Melaka.
“Hakikatnya, PAS gagal mengurus sebuah organisasi berteraskan prinsip demokrasi, urus tadbir yang baik dan sering mengkhianati rakan dalam perjuangan,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.