Siasat dakwaan Hadi tawaran negara asing jatuhkan kerajaan, kata Rayer

Seorang Ahli parlimen menuntut siasatan dijalankan susulan dakwaan Presiden PAS Hadi Awang bahawa negara kuasa asing pernah menawarkan bantuan kepada parti itu untuk menjatuhkan kerajaan.
Orang ramai berhak mengetahui apa yang dibincangkan dan sama ada wakil satu kerajaan asing ada terlibat dalam sebarang cubaan untuk ‘mempengaruhi, mengugat kestabilan atau memudah cara menggulingkan kerajaan Malaysia yang dipilih secara sah’, kata RSN Rayer daripada DAP, yang juga Ahli Parlimen Jelutong.
Beliau berkata, sekiranya dakwaan Hadi itu benar, ia merupakan perkara melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara. “Apa yang lebih membimbangkan ialah kegagalan nyata untuk melaporkan pertemuan yang didakwa sedemikian kepada pihak berkuasa Malaysia,” katanya dalam catatan di Facebook.
Rayer berkata, PAS tidak boleh menuntut ketelusan dan kebertanggungjawaban daripada pihak lain, sedangkan mereka sendiri berdiam diri berhubung dakwaan sedemikian rupa yang melibatkan kerajaan asing.
Awal hari ini, Hadi mendakwa menerima tawaran untuk menjatuhkan kerajaan dalam pertemuan di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) pada 2014, ketika lawatan Presiden AS Barack Obama ke Malaysia.
Rayer berkata: “Hadi mesti menjelaskan mengapa perkara ini tidak dilaporkan serta-merta kepada perdana menteri, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar, polis atau agensi keselamatan negara berkaitan. Mengapa PAS berdiam diri sampai ke saat ini? Ia merupakan isu keselamatan negara dan bukannya sesuatu untuk dibanggakan di muktamar.”
Hadi, sewaktu berucap di Muktamar PAS hari ini, berkata beberapa pemimpin PAS, termasuk Takiyuddin Hassan dan Ahmad Samsuri Mokhtar, dijemput ke pertemuan di Kedutaan AS. Beliau mendakwa pihak AS ‘bersedia membantu menumbangkan kerajaan’, namun dua pemimpin PAS tersebut dikatakan tidak terpengaruh.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.